hati

Cef cilik prihatin

SIAPA yang tidak bangga memiliki anak yang mampu menyelami kehidupan golongan kurang bernasib baik, seterusnya menghulurkan bantuan secara sukarela.

Lebih menggembirakan apabila wang digunakan untuk menyalurkan sumbangan datang daripada hasil jualan kek dan biskut milik si comel ini menggunakan jenama Danish’s Red Kitchen.

Danish Harraz Abd Hafiz, 11, usahawan kanak-kanak yang turut dikenali sebagai cef cilik bukan saja memberikan kegembiraan kepada pembeli kek yang dijual menerusi dalam talian, bahkan turut membawa sinar buat gelandangan, anak kurang berkemampuan serta pesakit kanser.

Melihat peribadi Danish yang sudah boleh memikirkan kesusahan dan kepayahan orang lain pada saat rakan seusia hanya meminta impian mereka ditunaikan ibu bapa, sudah pasti di sebalik kelembutan jiwanya ada insan yang berjaya mendidik si comel ini sehingga mampu berada seperti mana dirinya sekarang.

Menurut ibunya, Noorliza Abdul Rahman, 42, dia dan suami, Abd Hafiz Abd Halim, 40, tidak pernah memaksa Danish terbabit dengan kerja amal sebaliknya ia kemahuan Danish sendiri.

Ia bermula apabila dia melayari Instagram milik selebriti, Daphne Iking yang memaparkan aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Need To Feed The Need (NFN). Ketika itu Danish baru berusia lapan tahun.

“Danish kemudian menghubungi penaung NFN dan menawarkan diri sebagai sukarelawan. Oleh kerana ingin memberikan semangat kepadanya, saya dan suami bersama-sama menyertai NFN sebagai tanda sokongan,” katanya.

Pada awal pembabitannya sebagai sukarelawan, Danish menyediakan juadah seperti kek, biskut, muffin dan kek cawan pada setiap minggu untuk dijamu kepada kanak-kanak di lokasi tumpuan gelandangan seperti Jalan Masjid India dan Chow Kit.

Jika tidak sempat dia akan membeli makanan menggunakan hasil jualannya. Lama-kelamaan memikirkan lebih ramai yang perlu dibantu, Danish menubuhkan kumpulan sokongan sukarelawan dengan harapan dapat menyalurkan sumbangan secara lebih luas kepada keluarga asnaf dan pesakit kanser kanak-kanak.

“Ketika ini sebanyak 10 peratus daripada hasil jualan kek dan biskut digunakan bagi membeli keperluan mereka seperti lampin pakai buang, mainan, anak patung, kek dan biskut yang terus dihantar ke hospital.

“Saya dapati dia sangat teruja apabila bertemu pesakit kanser kanak-kanak itu kerana dapat menggembirakan mereka dengan sumbangan yang tidak seberapa ini,” kata Noorliza.

Menceritakan perasaan sebagai ibu apabila dapat mendidik Danish menjadi seorang yang lebih memahami dan prihatin kepada orang lain, jelas Noorliza, dia tidak menghalang ketika Danish meminta kebenaran untuk berkongsi kerja amal di media sosial.

Ini kerana Danish memberitahu dia gembira apabila aktiviti sukarelawan ini banyak memberi faedah dan kebaikan kepada orang lain.

“Ketika itu dia memiliki pengikut lebih 130,000 di laman Instagram. Jadi saya kira jika kerja amal ini boleh memberikan kebaikan kepada orang lain, mengapa tidak dikongsikan bersama,” katanya.

Ini membuatkan Danish semakin bersemangat untuk terus melakukan apa yang diusahakan sekarang kerana dia mahu menjadikan media sosial sebagai platform bagi membantu orang lain dengan caranya sendiri.

Sebagai ibu, Noorliza hanya memberikan panduan dan sokongan atas apa dilakukan anaknya. Selebihnya adalah perancangan Danish sendiri. Setiap kali ingin membantu golongan kurang berkemampuan atau anak asnaf, dia akan mencari nama mereka yang perlu dibantu yang diperoleh menerusi pengikut di laman sosial juga dihubungi sendiri.

“Tugas saya hanya memastikan maklumat diberikan Danish ini tepat dan menghubungi senarai penerima untuk mengetahui masalah kehidupan mereka dan jenis bantuan diperlukan.

“Untuk itu kami membiarkan Danish membuat keputusan supaya dia tahu apa yang dia perlu lakukan. Kami hanya memberi pendapat jika dirasakan perlu. Kemudian apabila senarai bantuan sudah lengkap, tugas saya dan suami adalah membawa Danish membeli keperluan atau membuat persediaan untuk menghasilkan kek dan biskut sendiri,” katanya.

Sentiasa membawa Danish ke mana-mana lokasi yang diingininya, kerap kali hatinya tersentuh melihat perkembangan anaknya yang disifatkan ‘berjiwa murni’.

Dalam nada bangga Noorliza berharap Danish dapat mengekalkan sifat merendah diri dan terus menyebarkan kasih sayang dan nilai positif ke mana saja dia pergi.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana dia disayangi ramai pengikut di media sosial terutama golongan ibu. Pada masa sama, kami cuba pastikan dia tidak terbeban kerana kami tahu bukan mudah untuk seimbangkan antara pelajaran dan kerja amal,” katanya.

Bercita-cita menjadi usahawan berjaya, Danish pernah menyuarakan impiannya untuk membantu lebih ramai orang. Noorliza dan suami tidak pernah menetapkan kerjaya anaknya itu, tetapi sentiasa memberikan panduan bagaimana dia perlu merealisasikan impiannya dan apa yang perlu dilakukan.

“Kami akan cuba memastikan dia tahu apa yang dia mahukan dalam hidup. Saya berdoa supaya kerja amal ini akan tetap diteruskan walaupun suatu hari nanti Danish sudah menyambung pelajaran atau berada di mana saja. Sebab itu penting bagi saya dan suami untuk sentiasa menyokong setiap usaha Danish supaya ia menjadi sebati dengan dirinya,” katanya.

INGIN BERKONGSI KELEBIHAN DIRI

Danish berkata, apa yang dilakukan hanya sekadar ingin berkongsi kelebihan yang dikurniakan Allah bersama mereka yang kurang bernasib baik. Sejak kali pertama memberikan makanan kepada gelandangan, hatinya mula tersentuh.

“Apabila melihat sendiri orang tua, golongan muda, kanak-kanak dan ibu yang sanggup menggendong bayi beratur panjang demi sebekas makanan dan sebotol minuman untuk makan malam mereka atau mungkin juga menyimpannya sebagai sarapan keesokan harinya, hati saya sangat tersentuh.

“Pada masa sama, ia memberi kesedaran kepada saya untuk sentiasa bersyukur atas nikmat yang Allah berikan selama ini.

“Bayangkan ketika melawat pesakit kanser kanak-kanak, saya melihat ada yang terpaksa berumah di wad, menangis menanggung kesakitan dan ada juga tidak mampu menjamah makanan.

Tetapi saya diberikan kesihatan yang baik dan dapat melakukan segala yang saya inginkan. Ia cukup menginsafkan,” katanya.

Dalam nada sayu Danish memberitahu, dia sangat sedih melihat penderitaan kanak-kanak seusia dengannya yang terpaksa menanggung kesakitan melawan kanser.

“Saya masih seorang budak, tidak banyak yang mampu dilakukan. Ini cuma sumbangan kecil untuk menggembirakan mereka. Sebab itu dengan kemampuan yang terhad, saya ingin berkongsi kepada orang lain supaya lebih ramai tampil memberikan sumbangan. Melalui perkongsian ini juga diharap dapat membuka mata masyarakat, seterusnya memberi inspirasi kepada orang lain yang ingin sama-sama menghulurkan bantuan,” katanya.

MINAT MASAK SEAWAL EMPAT TAHUN

Mula menunjukkan minat dalam bidang kulinari dan pastri seawal usia empat tahun, bakat Danish mula dihidu ibu bapanya apabila dia sering menonton rancangan memasak dan bermain permainan video berbentuk masakan di komputer.

Menyedari bakat semula jadi anaknya, lantas Noorliza dan suami menyediakan kelengkapan kulinari dan pastri bertemakan merah yang diimport dari Amerika Syarikat.

Dari situ, kerjaya cef cilik Danish bermula apabila dia kerap berkongsi aktiviti memasak di laman Instagram dan Facebook sehingga berjaya mengumpul ratusan ribu pengikut.

Tanpa pendidikan rasmi dan hanya berguru menerusi Internet, kecekapan Danish dalam bidang kulinari dan pastri memang mengagumkan apabila dia berupaya mengadun pelbagai resipi yang diubah suai mengikut cita rasanya sendiri.

Bermula dengan mencuba resipi mudah, Danish kini mempunyai 100 pelanggan tetap yang sering membeli pelbagai kek yang dihasilkannya.

“Setiap bulan saya menghasilkan 25 kek. Malah, untuk setiap menu saya berkongsi resipi menerusi Instagram. Bukan sekadar bereksperimen dengan resipi yang dikongsi, malah ada pengikutnya menjadikan ia sebagai sumber pendapatan.

“Saya tak kisah sekiranya mereka menjalankan perniagaan menerusi resipi yang saya kongsikan. Sekurang-kurangnya saya sudah menjalankan kewajipan berkongsi kebaikan dengan semua orang,” katanya.

Disiarkan pada: December 20, 2018 @ 8:00am
d